31 Disember 2011! Ya. Itulah tarikh hari ini. Itu jugalah tarikh terakhir untuk tahun 2011. Maka berakhirlah tahun 2011, dan bermulalah hidup kita dengan membuka lembaran baru iaitu tahun 2012. Tahun baru, azam baru tetapi aku tetap AKU 
Alhamdulillah~ aku masih diberi peluang oleh Allah S.W.T untuk meneruskan hidup di tahun baru yang akan datang. Thank You Allah! Namun, tahun 2011 merupakan tahun yang bermakna dan memberi seribu kenangan kepada diriku. Malah, tahun 2011 juga mengajar aku erti persahabatan, kesetiaan, kasih sayang, kesabaran dan sebagainya. Setiap manusia akan mengalami pengalaman manis dan pahit dalam kehidupan. Begitu juga aku. Tetapi, aku tetap gagahkan diri menempuh pelbagai dugaan tersebut dengan adanya sokongan dan semangat dari orang-orang tersayang. Satu kata yang paling bermakna bagi aku ialah 'Hargailah orang yang menyayangi kita'. Jangan sia-siakan kasih sayang daripada mereka. Bersyukurlah kerana masih ada yang menyayangi diri anda.
2011!
Tahun inilah aku menghadapi masalah dengan sahabatku atas sebab-sebab tertentu. Aku hampir berputus asa untuk meneruskan pengajian di maktab. Namun, aku kuatkan hati dan sentiasa bersabar menghadapi cabaran tersebut. Alhamdulillah. Semuanya baik seperti sedia kala. Kami masih bersahabat walaupun tidak serapat seperti dahulu. Tetapi, dia masih seorang SAHABAT. Dia telah memberikan kenangan yang bermakna dan menjadikan aku lebih kuat serta mengerti makna persahabatan. Terima Kasih Awak!
2011!
Tahun ini juga memberi aku seribu kenangan yang tidak dapat aku lupakan dan mungkin tiada sesiapa yang mempunyai pengalaman sebegitu. Kenangan manis aku bersama Mr. Awesome masih utuh terpahat di mindaku. Pelbagai cabaran dan kenangan telah kami lalui sepanjang tahun 2011. Antaranya ialah lawatan JPP ke Miri, Minggu Pengurusan Pelajar Baharu 2011, ulangtahun pertama kami dan banyak lagi. Terlalu banyak untuk diungkapkan segalanya. Kalau nak dicerita pun, satu hari takkan habis. Kenangan yang paling aku tidak dapat lupakan ialah kami menyambut Hari Raya Aidiladha bersama-sama di rumahku. Sepanjang hidupku, aku tidak pernah menyambut sebarang perayaan bersama seorang lelaki yang bergelar KEKASIH. Dialah KEKASIH hatiku untuk selama-lamanya. Dialah tempat aku mengadu, meluahkan perasaan dan suka duka kami kongsikan bersama. Dia selalu ada tatkala aku perlukannya. Walaupun kami sentiasa berjauhan, tetapi jarak tersebut langsung tidak mampu menghakis rasa sayang dan cintaku terhadap dirinya. Kerana kau lah kekasih hatiku yang telah memberi cinta dan sinar di hidupku. Terima kasih kerana telah hadir dalam hidupku. Terima kasih kerana telah mewarnai hidupku. Terima kasih atas segalanya. Terima Kasih Cinta!
2011!
Cabaran dalam peperiksaan dan pelajaran sudah tentu telah menjadi lumrah kehidupan bagi seorang pelajar, lebih-lebih lagi seorang bakal guru seperti aku. Seperti orang lain, aku juga pernah kecewa dan sedih dengan keputusan peperiksaanku. Malah, aku pernah hampir berputus asa untuk mengejar impianku sebagai seorang guru. Tetapi, aku telah bangkit dan terus melangkah ke depan untuk mencapai impianku itu. Yang paling penting, aku tidak ingin mengecewakan hati seorang insan yang paling mulia bergelar ibu. Aku sayang Mamaku. Aku tidak ingin dia kecewa. Aku ingin dia bangga dan tersenyum puas melihat anak-anaknya berjaya sampai ke menara gading. Amin. Pengalaman indah bersama sahabat-sahabat baru telah memberi aku semangat untuk terus maju ke depan. Pelbagai pengalaman manis dan pahit telah kami tempuh sepanjang kami berada di maktab selama 1 tahun setengah sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah. Alhamdulillah. Keputusan peperiksaan bagi Semester 3 iaitu semester terakhir untuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) telah memberi kami peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah pada tahun hadapan (2012). Aku ingin sahabat-sahabatku tersenyum bangga pada hari konvokesyen lebih kurang empat tahun lagi. Semoga Engkau permudahkan jalan kami sepanjang pengajian kami sebelum bergelar seorang GURU. Amin. Pengalaman terbaik bersama sahabat-sahabat terutama semasa kami berada di Mukah akan aku kenang sampai bila-bila. Susah senang, suka duka dan pahit getir kami alami bersama. Biarpun banyak masalah dan cabaran yang aku hadapi bersama mereka, namun kami tetap sentiasa bersama-sama. Semoga persahabatan kita kekal buat selama-lamanya. Aku tidak akan pernah lupa sahabat-sahabatku. Kerana merekalah yang memberi warna warni dalam hidupku. Tanpa sahabat, sudah pasti hanya satu warna sahaja dalam hidup ini. Hargailah sahabat anda. Terima Kasih Sahabat!
2011!
Hidup tidak selalu indah. Adakalanya kita akan merasa sunyi dan keseorangan. Ibu dan bapaku sudah lama bercerai. Walaupun keluargaku tidak sempurna seperti orang lain, namun aku masih tetap bahagia. Aku ada seorang ibu yang sangat sayang padaku. Aku ada seorang adik yang nakal tetapi penyayang. Alhamdulillah. Aku tetap bersyukur dengan apa yang aku ada sekarang ini. Orang lain belum tentu dapat apa yang aku ada. Tipulah kalau aku cakap aku tak nak sebuah keluarga yang sempurna. Kadang-kadang aku tertanya-tanya kenapa takdirku begini? Kenapa aku tidak ada keluarga yang sempurna seperti orang lain? Kenapa aku tidak dapat bahagia seperti orang lain? Kenapa? Kenapa? Dan kenapa? Kadang-kadang aku berasa cemburu melihat orang yang mempunyai keluarga yang sempurna, ada bapa, ibu, kakak, abang dan adik. Kadang-kadang juga aku berasa sunyi dan sedih, lebih-lebih lagi ketika aku sedang bersendirian. Aku akan terkenang kembali saat-saat bahagia aku bersama-sama keluargaku. Aku rindu saat-saat itu. Rindu sangat-sangat. Alangkah baiknya jika aku dapat kembali ke masa lalu dan perbaiki hubungan keluargaku. Sejujurnya dan kalau diikutkan hati, aku menyesal mengenali seseorang yang bergelar bapa dalam hidupku. Dia memang seorang yang baik tetapi dia tidak pernah ambil peduli tentang keluarganya sejak aku masih kecil lagi. Biarlah ia menjadi kenangan silam buat aku dan keluargaku. Sejujurnya dan kalau diberi pilihan, aku tidak mahu kehadiran seorang bapa lagi dalam hidupku. Aku sudah bahagia bersama ibu dan adik ku. Biarlah kami hanya hidup bertiga sahaja. Sejujurnya, aku lebih BAHAGIA tanpa kehadiran seorang bapa. Tetapi, hidup mesti diteruskan. Dan jangan pandang belakang. Sesiapapun berhak bahagia. Begitu juga aku. Aku ingin mencari kebahagiaan diriku dan keluargaku. Aku tidak pernah menyesali masa silamku. Tetapi, aku bersyukur kerana telah diberi kenangan sebegitu yang orang lain mungkin tidak dapat merasainya. Aku bertuah. Dan aku percaya semua ini pasti ada hikmahnya. Aku berterima kasih kerana Engkau telah kurniakan seorang ibu dan adik untuk menerangi hidupku. Terima Kasih Allah!
2011!
Setiap orang pasti mempunyai harapan masing-masing. Begitu juga Mama ku. Harapan Mama agar aku berjaya menjadi seorang guru dan belajar sampai ke menara gading. Sudah pasti semua ibu bapa mengimpikan anaknya bergelar seorang graduan suatu hari kelak dan menjadi insan yang berguna. Aku tahu harapan Mama ku sangat tinggi terhadapku. Lebih-lebih lagi aku merupakan puteri sulung dalam keluarga sekaligus menjadi 'role model' kepada adikku. Aku harus memberi contoh dan teladan yang baik kepada adikku. Seperti manusia yang lain, aku juga tidak sempurna. Sudah pasti ada kelebihan dan kekurangan dalam diriku ini. Namun, contoh yang tidak baik biarlah menjadi pengajaran dan pengalaman belajar. Tetapi, aku tetap ingin menjadi yang terbaik. Bukan untuk aku sahaja, malah untuk keluargaku juga. Aku meneruskan pelajaran dengan membawa harapan yang tinggi dari Mama ku. Harapan tersebut menjadi pembakar semangat untuk aku terus berjaya dan menjadi seorang bakal guru kelak. Mama sentiasa berada di sisi ku di saat aku bersedih, bergembira dan sebagainya. Mama sentiasa ada untuk ku. Tatkala aku hampir berputus asa terutamanya, Mama selalu ada memberi semangat dan dorongan agar aku menjadi lebih kuat dan terus maju. Aku tidak ingin melihat Mama kecewa lagi setelah perceraiannya dengan bapaku. Aku akan membuat Mama bahagia dan tersenyum gembira suatu hari kelak. Aku tidak akan mengecewakan Mama. Aku sangat sayangkan Mama. Aku akan belajar bersungguh-sungguh. Kerana aku tahu itu sahaja yang mampu aku buat untuk membalas jasamu mendidikku sepanjang hidupku. Belajar dan belajar sehingga aku berjaya. Itu yang aku janjikan untuk Mama ku. Ya Allah, semoga Engkau permudahkan urusan hamba-Mu ini. Amin. Terima kasih Mama kerana selalu ada untukku. Terima kasih Mama atas segala yang telah engkau berikan. Terima kasih Mama kerana telah menjadi ibu yang terbaik dalam hidupku. Terima Kasih Mama!
2011!
Sahabat lama sudah pasti sukar untuk kita lupakan. Terutama sahabat lama sejak bangku sekolah lagi. Aku rindukan sahabat lama ku. Rindu sangat-sangat. Aku rindu kenangan kami bersama dahulu kala. Aku rindu gelak tawa mereka. Aku rindu senyuman mereka. Aku rindu semuanya tentang mereka. Alangkah indahnya jika aku dapat kembali lagi ke sekolah seperti dulu. Sudah pasti kami tidak akan terpisah. Kami terpisah kerana ingin mencapai impian masing-masing. Masing-masing ada hala tuju sendiri. Tetapi, aku bangga kerana semua sahabatku telah berjaya melanjutkan pelajaran. Alhamdulillah. Ada di Sabah, ada di Kuching dan ada pula di Johor. Semoga kita sama-sama dapat apa yang kita impikan. Amin. Kenangan lalu telah mengusik jiwaku yang membuat aku kadang-kadang rindu zaman persekolahanku. Banyak pahit manis yang kami tempuhi bersama-sama sepanjang bergelar pelajar sekolah dan sebelum bergelar remaja. Namun, kenangan tersebut telah memberi seribu makna kepada kami yang akan kami kenang sampai bila-bila. Alhamdulillah. Hubungan persahabatan kami masih kekal sehingga sekarang. Dan aku brharap hubungan ini akan kekal sampai bila-bila. Aku sayang sahabat lama ku. Merekalah tempat aku mengadu dan mencurah kasih sayang tatkala aku dilanda kesedihan. Mereka selalu ada untukku. Dan tidak pernah jemu menemaniku pada saat aku gembira atau sedih. Aku bersyukur mempunyai sahabat sebegitu. Kami saling menghargai dan menyayangi. Terima kasih kerana telah menjadi sahabatku. Aku sayang kamu, sahabatku. Terima Kasih Sahabat Sejati!
2011!
TERIMA KASIH, THANK YOU. SELAMAT TINGGAL, GOODBYE.
2012!
ASSALAMUALAIKUM, SELAMAT DATANG, HELO.
the purple heart 
”coretan dari hati turun ke keyboard"

